"Gambar kanan, gambar raya terakhir kita, 2016" - Nurulain |
Salam takziah buat Nurulain dan keluarga. Semoga tabah menghadapi ujian dari yang Maha Esa. Semoga arwah ditempatkan di kalangan para solihin dan diampunkan segala dosa-dosanya.
Coretan buat suamiku, Mohd Muhaimin Radzuan
Assalammualaikum sayang. Subuh hari ini, genap dua hari awak tinggalkan saya. Perasaan saya? Allahuakbar.. rindunya pada awak. Hari terakhir jumpa awak, Ahad lepas di Utami Village. Siapa nak sangka pagi Jumaat itu, pagi yang sepatutnya awak balik tetapi saya kena pergi jumpa awak di Unit Forensik Hospital Alor Gajah. Polis kata awak kemalangan sebelum Tol Ayer Keroh. You are just 15 minutes away from our home sayang. Tapi Allah lebih sayangkan awak, siapa saya nak persoalkan semua ini.
Sayang, sungguh singkat masa Allah pinjamkan awak untuk saya. Dua tahun 8 bulan 6 hari. Awak suami yang terlalu baik, tak pernah tinggi suara, tak pernah marah saya. Awak satu-satunya insan yang tukar setiap marah saya kepada gelak ketawa. Seorang yang sangat ceria, yang tak pernah tunjuk penat dan runsing awak pada sesiapa.
Saya selalu pelik mana datang tenaga awak hari-hari non stop usahakan kedai itu. Rehat sekejap pun hari Jumaat tetapi awak kena ride balik Melaka pula. 2-3 minggu ini awak terlalu penat bila ada masalah pekerja tetapi awak masih bertahan dan tak putus asa. Saya selalu pesan, hari Khamis malam tak perlu balik, rehat saja di sana. Tetapi awak selalu beritahu saya, nak balik rumah tengok saya sebab rehat pada awak hanya bila nampak saya. Rupanya Allah bagi awak tenaga yang terlalu banyak selama ini sebab Allah nak bagi awak rehat awal.
Sayang, saya redha dengan pemergian awak. Umi dan papa pun sangat kuat dan redha anak sulung kesayangan pergi dulu. Tak pernah saya tengok abang-abang, kakak-kakak, saudara mara saya meraung lebih dari saya bila terkejut mendapat berita ini. Awak bukan hanya menantu, bukan hanya adik ipar, bukan hanya suami kepada saya di mata mereka tetapi awak terlalu istimewa di mata semua. Kehadiran awak adalah penyeri dan hadiah terindah dalam keluarga saya sayang. Terima kasih umi dan papa lahirkan abang, besarkan abang jadi manusia sehebat ini. Kami semua redha sayang. Hanya rindu yang teramat sangat.
Sayang, Alhamdulillah terlalu banyak petanda untuk saya gembira lepaskan awak. Semua urusan terlalu dan teramat mudah. Papa saya, papa awak, abang-abang saya, sepupu-sepupu saya yang semua awak hormat dan jadikan idola selama ini mandikan awak sayang. Mesti awak bangga, kan?
Awakkan cepat tersentuh hati. Wajah awak sangat tenang setenang wajah awak semasa tidur. Ramai solatkan awak. Cuaca mendung iringi awak ke pusara walaupun dalam seminggu ini memang hujan lebat di Seremban lepas asar. Tetapi Jumaat lepas tak panas, tak hujan tapi cuaca yang terlalu selesa. Urusan pengebumian sangat pantas dan orang yang datang seolah-olah tak nak balik sampailah sudah nak maghrib. Saya tak pasti hanya saya dan kaklong atau ada yang lain pun perasan, tapi pusara awak wangi sayang. Bukan bau minyak wangi biasa. Anak-anak buah teresak-esak rindukan awak sampai orang yang melawat kubur sebelah ingat awak ini ayah mereka. Rezeki awak, hari kedua pun masih ramai yang datang melawat awak.
Ramainya sayangkan awak sayang. Tersentuh hati saya baca satu-satu ucapan di wall awak. Terima kasih kepada semua yang tak putus-putus doakan arwah suami saya, mesej saya, WhatsApp saya. Minta maaf tak mampu saya nak reply semua tetapi segala ucapan dan kata-kata semangat dari semua saya memang baca dan Alhamdulillah sangat-sangat membantu saya menjadi kuat.
Terima kasih kepada kawan-kawan awak yang tak kenal saya pun boleh datang jumpa saya, cerita semua kebaikan awak. Ramai yang datang beritahu mereka nak jumpa saya sendiri sebab awak selalu cerita tentang saya.
Ramainya sayangkan awak, untungnya saya jadi cinta pertama dan terakhir awak. Bertuahnya saya sayang. Alhamdulillah.
Tiada lagi message dari awak masuk. Last ayat awak bagitahu awak tak sabar nak balik, awak terbayang-bayang bawa motor ke Melaka, awak nak sangat-sangat jumpa saya sebab awak sangat rindukan saya. Terdetik di hati saya 'kenapa nak terbayang-bayang balik Melaka? Kan setiap minggu itu rutin biasa awak'. Sebab itu pada pagi itu saya tunggu awak sayang. Melaka pula cuti pada hari itu, tapi awak tak sampai-sampai dan takkan sampai lagi. Sampai sekarang saya terngiang-ngiang bunyi motor awak sampai depan rumah.
Thank you Allah for this blessing, thank you Allah for this precious memory. No words can describe how much I miss you, how much I envy you sayang. Terlalu cantik cara awak pergi sayang. Awak dah selesa di sana, insyAllah. Saya risau awak lupakan saya.
Sekarang ini masa untuk saya berusaha jadi hamba yang terbaik, kejar syurga Allah. Saya nak sangat jumpa awak sayang.
Kepada semua yang risaukan saya, insyaAllah saya kuat. Saya beruntung sebab masih ada ibu bapa dan keluarga besar yang support saya. I am okay. Teruskan berdoa dan bagi ucapan untuk suami saya okey? Seronok sangat baca. Jika ada hutang suami saya, tolong beriitahu, saya selesaikan insyaAllah. Jika terkasar bahasa, lawak terlebih itu, harap dimaafkan.
Buat suamiku, saya okay sayang. Awak jangan risau, saya takkan lupa makan, takkan lupa jaga diri. Itu pesanan awak hari-hari, kan? Setiap hari awak tak lupa ucap 'terima kasih jadi isteri saya'. Saya pun nak cakap, terima kasih jadi suami saya sayang. Suami terbaik untuk saya yang serba kurang ini. Till next time sayang.
Syurga untuk awak, insyaAllah. Berbahagia dan rehatlah di sana sayang.
03/05/1986 - 14/04/2017
Isterimu, Nurulain Baharuddin
Sumber : Gengviral
from I Am Kiram http://ift.tt/2oNgxuS
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment