Soalan: Apakah hukum mencukur janggut apabila diminta oleh pihak majikan atau kerana mematuhi kod etika pemakaian bagi unit berunifom?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Permasalahan berkenaan dengan hukum memotong janggut telah sekian lama dibahas oleh para ulama. Ia merupakan satu permasalahan yang menjadi khilaf yang muktabar dalam kalangan ulama.
Di sini kami nukilkan keterangan daripada kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Menurut kesepakatan ulama, bahawa memelihara janggut adalah dituntut oleh Syara’. Ini kerana terdapat hadis yang warid tentangnya, antaranya:
Hadis Ibn Umar R.Anhuma.
Sabda Nabi SAW:
خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ وَفِّرُوا اللِّحَى وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
Maksudnya: “Selisihilah orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan potonglah misai.”
Riwayat al-Bukhari (10/349)
Hadis Abu Hurairah RA.
Rasulullah SAW bersabda:
جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا الْمَجُوسَ
Maksudnya: “Pendekkanlah misai, dan peliharalah janggut kerana menyelisihi Majusi.”
Riwayat Muslim (1/222)
Hadis ‘Aisyah R.Anha.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis sepuluh perkara yang merupakan daripada fitrah manusia iaitu antaranya:
إِعْفَاءَ اللِّحْيَةِ
Maksudnya: “Pemeliharaan janggut.”
Riwayat Muslim (1/223)
Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah fi’il amar (أعفوا) dengan ‘membanyakkan’ atau makna ‘memelihara’. Lihat: Al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah. jil. 35. hlm. 223.
Jumhur fuqaha’ daripada mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan satu pandangan daripada ulama Syafie mengharamkan memotong janggut. Ini kerana bertentangan dengan suruhan hadis Nabi SAW supaya memelihara janggut. Lihat: Al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah. jil. 35. hlm. 226.
Kami bawakan juga di sini daripada kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuhu:
“Adapun memelihara dan membiarkan janggut, iaitu membiarkannya serta tidak melakukan perubahan, maka ulama Malikiah dan Hanabilah menghukumkan cukur sebagai haram dan tidak menghukumkan sebagai makruh memotong jika lebih dari satu genggaman dan juga tidak menghukumkan sebagai makruh memotong bahagian yang dibawah halqum seseorang, ini kerana mengikuti perbuatan Ibn Umar. Manakalah ulama Hanafiah menghukumkan sebagai makruh tahrim jika mencukur janggut. Adapun ulama Syafieyyah menghukumkan sebagai makruh tanzih. Al-Nawawi dalam Syarh Muslim telah menyebut tentang sepuluh perkara yang makruh pada janggut, antaranya ialah mencukurnya kecuali sekiranya janggut itu tumbuh pada seseorang perempuan, maka disunatkan mencukurnya.” Lihat: Wahbah Mustafa al-Zuhaili. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. jil. 1. hlm. 462.
Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram ada membahaskan seperti di bawah:
“Berkenaan dengan tajuk yang kita sedang bincangkan ini ialah tentang memelihara janggut. Imam al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ، وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
Maksudnya: “Bezakanlah diri kamu dengan orang-orang musyrikin. Peliharalah janggut dan cukurlah misai.”
Dalam sebahagian riwayat perkataan waffiru bermaksud memelihara. Namun begitu, hadis di atas telah menjelaskan tentang ‘illah (sebab) utamanya iaitu supaya mempunyai identiti yang berbeza dengan golongan musyrikin khususnya orang Majusi kerana mereka selalunya menggunting janggut mereka dan ada pula yang mencukurnya. Kerana itulah Rasulullah SAW menyuruh kita bersikap berbeza dengan mereka untuk mendidik kaum Muslimin supaya mempunyai identiti yang tersendiri.
Maksud tidak mencukur janggut itu bukanlah dengan membiarkannya tanpa diuruskan, tetapi diuruskannya dengan baik pada lebarnya dan panjangnya sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi.
Qadhi Iyadh berkata: “Makruh bagi seseorang mencukur janggut, mengguntingnya, memendekkannya serta meratakannya. Tetapi jika diuruskannya supaya jangan terlalu panjang dan lebat, adalah tidak mengapa dan yang demikian itu bagus.”
Abu Syamah al-Syafie berkata: “Memang sudah berlaku pada masa ini, ada kaum yang suka mencukur janggutnya, yang mana perbuatan itu adalah dari perbuatan kaum Majusi yang selalu senang sekali mencukurnya.”
Aku (Syeikh Yusuf al-Qaradhawi) katakan: “Kebanyakan kaum Muslimin pada masa kini, semuanya telah mencukur janggutnya kerana meniru musuh-musuh Islam dari kaum penjajah yang menguasai negara-negara mereka, baik dari kaum Yahudi mahupun Nasrani. Seperti kebiasaannya orang yang dijajah suka meniru lagak orang yang menjajah kerana kekuasaannya. Sedangkan orang Muslim itu telah melupakan apa yang disuruh oleh Rasulullah SAW supaya membezakan diri dari orang-orang kafir dan larangan Baginda SAW supaya jangan meniru cara hidup mereka kerana sesiapa yang meniru sesuatu kaum samalah dia seperti mereka.”
Daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka samalah dia dengan kumpulan mereka.”
Riwayat Abu Daud, Ahmad dan Ibn Asakir
Kebanyakan fuqaha’ menyatakan dalil pengharaman mencukur janggut dengan berpegang kepada perintah Rasulullah SAW supaya memelihara janggut.
Asal hukum ini adalah wajib, khususnya apabila ‘llah iaitu sebab suruhan ialah supaya membezakan diri dengan orang kafir dan hukumnya adalah wajib. Tidak ada berita yang dinukilkan daripada ulama salaf yang membenarkan untuk meninggalkan kewajipan ini sama sekali.
Para ulama masa kini membenarkan untuk mencukur janggut kerana mengikut kehendak masa sekarang dan terpengaruh dengan sebab tersebarnya bala bencana pada masa kini. Meskipun begitu, mereka tetap mengatakan bahawa memelihara janggut itu adalah adat kebiasaan perbuatan Nabi SAW dan bukannya melibatkan perkara ibadat yang berkait dengan janggut. Dan yang sebenarnya, memelihara janggut tidak sabit dengan perbuatan Rasul sahaja bahkan dengan suruhan yang sarih jelas lagi mu’allal (hukum-hakam yang dibina berdasarkan ‘illah) iaitu untuk membezakan diri daripada orang-orang kafir.
Ibn Taimiyah pula menetapkan secara pasti bahawa membezakan diri dengan keadaan mereka adalah perkara yang sangat dituntut oleh syariat Islam. Dan menyerupai keadaan mereka itu boleh menimbulkan rasa kasih sayang pada diri dan itu akan menarik keinginan untuk menyerupai mereka secara zahirnya.
Seterusnya Ibn Taimiyah berkata lagi: “Semua dalil dalam al-Quran al-Karim, al-Sunnah dan ijmak ulama telah menekankan supaya setiap Muslim itu membezakan dirinya dengan orang kafir dan dilarang menyerupai mereka. Setiap perkara yang diduga akan mendatang kerosakan yang pasti, meskipun secara tersembunyi, maka sudah pasti dihubungkan dengan hukum pengharamannya. Menyerupai orang kafir pada kelakuannya akan menarik kita menyerupai mereka dalam kelakuan dan perbuatan mereka. Kesannya mungkin tidak ketara, begitu juga kerosakan yang berlaku hasil dari penyerupaan itu tidak kelihatan kerana itulah untuk melenyapkannya agak sukar sama sekali. Walau bagaimanapun, apa sahaja yang boleh menarik seorang Muslim kepada kerosakan, maka syariat Islam tetap mengharamkannya.”
Maka kita dapat lihat dalam perkara mencukur janggut ada tiga pandangan, antaranya:
Pendapat yang menyatakan haram secara pasti iaitu apa yang dinyatakan oleh pendapat Ibn Taimiyah dan lain-lainnya.
Pendapat yang mengatakan makruh iaitu apa yang disebutkan dalam kitab Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari yang menukilkan daripada Qadhi Iyadh, sedang ulama lain tidak seorang pun yang mengatakan begitu.
Pendapat para ulama yang sezaman menghukumkan mubah atau harus. Barangkali pendapat yang sederhana dan yang dekat kepada yang benar iaitu pendapat yang mengatakan hukumnya makruh sahaja. Ini kerana perintah supaya memelihara janggut itu tidaklah menunjukkan wajib yang pasti, kecuali dinyatakan kepada kita supaya jangan menyerupai orang kafir atau membezakan diri dengan hidup orang kafir sahaja.
Perkara yang hampir menyerupai persoalan ini ialah perintah untuk menginai rambut yang beruban supaya keadaan orang Islam itu berbeza dengan kaum Yahudi dan Nasrani yang tidak menginai rambut mereka. Sedangkan ramai dari kalangan sahabat yang tidak menginai rambut. Maka jelaslah hal ini menunjukkan mustahab iaitu dituntut dan dianjurkan sahaja. Sesungguhnya tidak ada satu berita pun yang dinukilkan oleh ulama salaf bahawa mereka mencukur janggut mereka. Barangkali pada zaman mereka masih belum dititik beratkan untuk mencukurnya dan ia merupakan adat kebiasaan mereka.” Lihat: Yusuf al-Qaradhawi: Al-Halal wa al-Haram. hlm. 112-114. Maktabah Wahbah. Kaherah. 2012.
Kesimpulan
Setelah meneliti pelbagai pendapat para ulama, maka kami bersetuju dengan pandangan yang paling asah (sahih) dalam mazhab Syafie yang menyatakan bahawa hukum mencukur janggut adalah makruh tanzih. Ini kerana menyimpan janggut secara terurus adalah merupakan sunnah Nabi kita yang mulia.
Kami berpandangan bahawa sekiranya ini merupakan arahan dan keputusan yang tetap dari pihak atasan, maka seharusnya ke atas mana-mana kakitangan untuk menghormatinya dan mengikuti segala arahan kod etika badan berunifom. Ini bertujuan untuk menjaga kekemasan dan penampilan sebagai seorang pegawai badan berunifom.
Di sini kami juga cuba untuk memberi pandangan dan cadangan kepada pihak yang terlibat untuk meraikan permintaan para kakitangan yang beragama Islam untuk menyimpan janggut. Ini sebagaimana apa yang telah dilakukan oleh sebahagian badan kerajaan yang juga merupakan pasukan berunifom telah membenarkan pegawai dan anggota lelaki menyimpan janggut berdasarkan tuntuntan yang dikemukakan.
Kami mencadangkan kepada pihak yang terlibat atau kakitangan badan berunifom yang terdiri daripada kalangan orang Islam boleh mematuhi syarat dan kriteria penyimpanan janggut. Di sini kami cadangkan garis panduan asas penyimpanan janggut:
Janggut hendaklah diandam dan diurus supaya kelihatan kemas dan bersih.
Dilarang mewarnakan janggut dengan apa-apa warna sekalipun.
Janggut hendaklah tidak melebihi dua inci. Ini kerana untuk menjaga kekemasan dan keterampilan.
Dilarang mengandam janggut dengan bentuk yang menjadi trend
Jambang hendaklah dinipiskan supaya kelihatan
Panduan asas yang kami gariskan ini bukanlah merupakan satu keputusan yang tetap dan perlu diterima oleh mana-mana pihak. Ini kerana, ia perlu melalui satu perbincangan yang matang dan menyeluruh serta perlu diputuskan oleh pihak yang terlibat dalam menggariskan apa sahaja yang memberi kebaikan kepada semua.
Semoga dengan pencerahan dan cadangan ini akan memberi kefahaman dan pertimbangan kepada semua pihak dalam mencari solusi penyelasaian yang terbaik. Seterusnya dengan usaha yang sedikit ini kita semua dikurniakan oleh Allah SWT kefahaman dan balasan pada hari akhirat kelak.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan
via Bin Usrah
Sumber : Gengviral
from I Am Kiram http://ift.tt/2piN2zD
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment