Oleh Zabidi Azhar
SYURGA MENANTI PONDAN DAN GAY
SURAT TERBUKA BUAT PENGAMAL LGBT
Saya tujukan tulisan saya ini kepada saudara-saudara saya yang terlibat dengan Gay, Lesbian, Bisexual, Transgender. Saya berpesan atas dasar kejadian kita yang sama dan akan kembali bertemu Tuhan yang sama.
1. Kenal Diri, Kenal Tuhan
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” [At-Tin :4]
Saya buka dengan satu petikan dari Al-Quran yang menjelaskan bahawa Allah telah menciptakan kita dengan sebaik-baik kejadian. Yang membezakan kita dengan makhluk Allah yang lain adalah dikurniakan kepada kita akal untuk berfikir. Perintah untuk berfikir ini diulang sebanyak 100 kali di dalam Al-Quran. Apa yang perlu difikirkan? memikirkan kejadian Tuhan yang terdapat di sekeliling kita.
Pernahkah kamu terfikir mengapa Allah menciptakan setiap kejadian berpasang-pasangan? Malam pasangnya siang, hitam lawannya putih. Bayangkan bagaimana jadinya dunia ini malam sahaja tanpa adanya siang. Porak peranda bukan? Mengapa lubang hidung kita terletak ke bawah, bukan di atas? Memudahkan untuk kita korek hidung (haha..kelakar tak?) Mengapa jari kita tidak sama panjang? Semua itu ada fungsinya tersendiri. Setuju?
“Wahai manusia, bertaqwalah kamu sekalian kepada Tuhanmu yang telah menjadikan kamu satu diri, lalu Ia jadikan daripadanya jodohnya, kemudian Dia kembangbiakkan menjadi laki-laki dan perempuan yang banyak sekali.” [An Nisaa :1].
Mengapa diubah kejadian Allah yang sudah sempurna? Kamu katakan yang kamu terperangkap dalam tubuh lelaki, lalu kamu membuat pengubahsuaian tubuh yang dipinjamkan Tuhan. Saya berikan satu analogi, apa akan terjadi jika kereta Kancil diubahsuai enjinnya dengan enjin Nissan GTR? Mau meletop kereta Kancil kerana tidak sepadan enjin dengan body kereta yang ringan. Begitu juga, jika kita memilki kereta BMW tetapi bila rosak kita hantar ke bengkel kereta Proton, mekanik pun garu kepala nak membaiki kerana bukan kepakarannya. Jadi, pointnya di sini adalah setiap ciptaan itu ada fungsi masing-masing, dan rujuklah dengan panduan yang telah diberikan oleh pencipta kita iaitu Al-Quran bagi menjamin keselamatan dunia dan akhirat.
Kamu kata itu naluri kamu, yang cenderung untuk menyukai makhluk sejenis dengan kamu. Kalau begitu, bolehkah saya memukul kamu kerana karekter saya yang panas baran dalam diri. Sifat pemarah itu boleh dikawal dengan latihan, begitulah juga dengan kecenderungan seks kamu itu. Sebenarnya itu adalah keinginan nafsu dalam diri kita, yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Tak usah la diikutkan kehendak nafsu tu, kelak kan merana. Perangi ia dengan mujahadah, senjatanya adalah berdoa agar diberikan taufiq dan hidayah dari Allah.
2. Rahmat Tuhan Itu Luas
Selagi namanya manusia, pastinya tidak terlepas dari melakukan dosa dan kesalahan. Kau Mufti ke, Imam Muda ke, Menteri ke, Pemandu Uber ke, Mekanik ke, Guru ke, semua orang ada dosa yang dilakukan. Dosa mengumpat dengan jiran sebelah, dengki dengan kawan, mengecam di fb, stalk instagram awek, mengambil riba, pecah amanah, curi gula-gula kat kedai runcit wak ribut, curi selipar kat masjid, semua itu dosa yang tak terlihat di mata manusia. Namun, tercatat oleh malaikat di dalam buku amalan masing-masing.
Masyarakat mengutuk dan mencaci kamu kerana dosa yang kamu lakukan nampak pada jasad tubuh kamu. Namun sebaliknya yang mencaci kamu itu dalam keadaan di mulutnya sedang menyedut asap rokok sambil berdating dengan awek. Ya, manusia tak pernah gagal untuk melihat kesalahan orang lain.
Kamu tahu tak kisah seorang lelaki di zaman dahulu yang telah membunuh 99 orang lalu ingin bertaubat? Kisahnya begini, lelaki itu berjumpa dengan seorang rahib dan menyatakan keinginannya untuk bertaubat.
“Taubat kamu tak akan diterima Tuhan” jawab sang rahib.
Oleh kerana berang dengan jawapan yang diberikan oleh rahib, lelaki itu terus membunuh rahib tersebut. Menjadikan bilangan mangsa bunuhnya genap 100 orang. Lalu, dia mencari pula orang alim lain bagi meminta pandangan. Berjumpalah dengan seorang alim dan beliau menyatakan hasratnya kepada orang alim tersebut.
“Aku telah membunuh 100 orang, adakah taubatku diterima?”
“Ya, siapakah yang akan menghalang seseorang daripada bertaubat?” jawab si alim.
“Sekarang kamu pergilah ke sebuah kota ini, yang mana penduduknya semua beribadah kepada Allah. Tinggalkanlah tempat kamu yang penuh dengan maksiat itu.” sambung orang alim itu lagi.
Setelah mendengar penjelasan daripada orang alim itu, Lelaki itu terus beredar menuju ke tempat yang disebutkan. Ditakdirkan, dalam perjalanan maut datang menjemputnya dan beliau pun meninggal di situ.
Datanglah malaikat Rahmat dan malaikat Azab untuk membawa roh lelaki tersebut. Namun, berlaku pertelingkahan diantara kedua malaikat siapa yang lebih berhak. Diutuskan malaikat yang lain untuk menghakimi permasalahan tersebut. Malaikat memerintahkan supaya diukur jarak jasad lelaki itu dengan Kota orang soleh. Ternyata, setelah diukur jasadnya hampir dengan kota itu. Maka, malaikat Rahmat yang lebih berhak mengambil lelaki tersebut.
Lihat, sebesar manapun kesalahan yang kamu lakukan, Jika kamu bertaubat dan kembali kepada Tuhan, pasti Dia akan menerima kembali hamba-Nya. Tinggalkan persekitaran yang membuatkan kamu hanyut dengan maksiat. Binalah kehidupan yang baru, ramai di luar sana akan bersama kamu untuk berubah.
Mungkin ada sesetangah yang beranggapan, dia melakukan maksiat tapi hidupnya senang lenang, hidup mewah berkat rezeki ‘halal’ yang diperolehinya. Saya ingin jelaskan, pertamanya kita beruntung kerana menjadi umat nabi Muhammad S.A.W. kerana nabi kita telah memohon untuk ditangguhkan azab kepada kita. Keduanya kepada pelaku maksiat, Allah akan bagi sebanyak-banyak kemewahan agar dia tertipu dengan kemewahan itu sehingga melupakan pemberi rezeki, lalu layaklah dia diseksa di akhirat nanti. Sepertimana Kisah Qarun yang lalai setelah dilimpahi kemewahan. Ini disebut sebagai Istidraj.
3. Sokongan Masyarakat
Di barat, banyak kes bunuh diri akibat tekanan jiwa dan tidak tahan dengan perangai manusia yang gemar menghukum berbanding menyokong. Mereka hilang tempat bergantung, lalu mengambil jalan mudah dengan menamatkan riwayat hidup mereka dengan membunuh diri. Tapi, itu bukanlah jalan penyelesaiannya. Malah, menggandakan dosa yang sedia ada. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Saya ada mendengar luahan dari seorang kawan yang dirahsiakan identitinya, mereka terjebak dengan kancah maksiat ini kerana krisis dalam keluarga, trauma dari pengalaman lalu. Jika kita terus juga menghukum, ke mana lagi tempat untuk mereka berlindung?
Saya mengambil kesempatan ini, untuk menyeru seluruh masyarakat supaya menghulurkan tangan untuk turut sama membantu saudara kita yang telah tersasar, dengan memimpin mereka kembali ke jalan yang benar. Saya pernah mengalami situasi begini, dicaci dan dipandang lekeh oleh masyarakat atas kenakalan saya dahulu, jadi saya amat memahami tekanan yang dialami oleh mereka.
Teguran ini terpakai kepada semua golongan, samada bekas mat rempit, bohsia, mat pet, kaki gam, bekas banduan, perogol bersiri, mak nyah, gangster, raver, hipster,kaki dota, kaki bigo, tahi MLM, hakikatnya kita semua adalah pendosa, apabila bertaubat kita telah suci di sisi Tuhan. Yang penting, bagaimana pengakhiran hidup kita. Semoga di dalam husnul khatimah.
Akhir sekali, kita semua pasti akan dibangkitkan bersama di padang mahsyar nanti. Disebutkan di dalam Al-Quran, berbahagialah bagi orang yang menerima kitab amalannya dari sebelah kanan (Ashabul Yamin) dan celakalah bagi orang yang menerima dari sebelah kiri (Ashabul Syimal) bersama-samalah kita berlumba membuat amal kebaikan. Semoga kita tidak menjadi orang yang muflis di akhirat nanti kerana amal-amal pahala dipindahkan kepada orang yang kita telah kita zalimi.
Saudaramu yang berdosa, Zabidi Azhar.
Sumber : Gengviral
from I Am Kiram http://ift.tt/2nYa68c
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment