KUALA TERENGGANU - Gara-gara memuat naik status tidak berpuas hati dengan saman yang dikenakan oleh anggota polis, seorang wanita dan lelaki ditahan, lapor Sinar Harian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, lelaki berusia 26 tahun yang juga kakitangan Jabatan Perhutanan Terengganu itu, memuat naik status yang menghina anggota polis selepas tidak berpuas hati dikenakan saman atas kesalahan nombor pendaftaran motosikalnya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, pada Jumaat lalu.
"Kita menerima 'screenshot' Facebook yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp yang memaki hamun pihak polis dengan kata-kata kesat selepas mengeluarkan saman kepadanya kira-kira jam 9.19 malam.
"Tindakan lelaki itu telah menjatuhkan maruah dan integriti polis," katanya.
Dalam status berkenaan, suspek mendakwa dia pernah ditahan 100 kali ketika melalui sekatan jalan raya, tetapi tidak pernah disaman atas kesalahan tersebut.
Ekoran statusnya itu, pihak polis telah menahan suspek yang berasal dari Kampung Kubang Jambu, pada jam 12.40 tengah malam tadi di hadapan Taman Shahbandar.
Selain itu, seorang remaja wanita berusia 23 tahun yang turut meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan rasa yang kasar terhadap penugasan yang dilakukan pihak polis juga turut ditahan pada 23 Mei lalu.
Menurutnya, tindakan remaja itu bertujuan untuk menghasut pembaca di media sosial untuk memburukkan nama polis.
"Saya ingin mengingatkan, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap orang awam yang menghina polis, sama ada secara berdepan atau di media sosial. Tindakan diambil bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya mengkritik anggota Polis yang bertugas di lapangan tanpa usul periksa terlebih dahulu.
"Orang awam perlu menghormati setiap tugas agensi penguatkuasa yang sentiasa menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya PDRM. Jangan sewenang-wenangnya mencaci anggota Polis bila mereka tidak berpuas hati akibat di saman. Sebaliknya masyarakat perlu berfikiran positif bahawa tindakan saman yang dikenakan itu adalah hak untuk mendidik mereka mematuhi setiap peraturan atau undang-undang sedia ada," katanya.
Walau bagaimanapun, jika ada pegawai atau anggota yang melakukan kesalahan seperti rasuah atau salah laku atau sebagainya, Suffian menasihatkan orang awam membuat laporan menggunakan saluran yang betul, bukannya memuat naik status di laman sosial dengan bahasa yang tidak sepatutnya.
Kes dua suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Sumber : Gengviral
from I Am Kiram http://ift.tt/2sFckM4
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment