“Salam doktor. Saya baru melahirkan anak sulong 3 hari lepas secara normal. Saya telah kematian ibu tahun lepas, jadi saya bersendirian menjaga anak, dan suami saya sudah kembali bekerja. Ibu mertua saya menjaga suaminya yang menghidap stroke. Mohon doktor mengajar saya memandikan bayi sulong saya dengan cara yang betul. Terima kasih”
WA ALAIKUM MUS SALAM
Masalah yang biasa dihadapi oleh ibubapa muda yang pertama kali memandikan bayi mereka ialah perasaan takut dan tidak yakin untuk memandikan bayi mereka yang bertubuh kecil.
Mereka bimbang akan mencederakan bayi mereka ketika membersihkan tubuh bayi atau bayi yang dimandikan terjatuh ke lantai dan menyebabkan cedera di kepala.
Masalah ini dapat diatasi jika ibubapa baru ini diberikan penerangan dan latihan oleh jururawat atau bidan terlatih, sebelum bayi dilahirkan.
Selain itu ibubapa sekarang boleh mempelajari teknik memandikan bayi yang diajarkan oleh bidan terlatih di dalam media youtube.
Puan boleh mengikut langkah berikut:
• Sebelum mengambil bayi untuk dimandikan, sediakan air dalam bekas mandian dulu. Letakkan air sejuk dahulu, kemudian tuangkan air panas, untuk memastikan air dalam bekas mandian menjadi suam.
• Jika ada thermometer, gunakannya untuk memeriksa air dalam bekas mandian kira-kira 30-37 darjah Celsius. Jika tiada thermometer, boleh gunakan siku anda, dan bukannya tangan anda, untuk mengukur suhu air. Ia sepatutnya tidak panas atau sejuk.
• Untuk bayi yang berusia kurang enam bulan, isikan bekas mandian sehingga mencapai kedalaman air sehingga bahu bayi dapat ditenggelamkan ketika beliau berbaring di bekas mandian. Ini memastikan air dalam bekas mandian cukup untuk memandikannya. Bagi bayi yang boleh duduk, jangan isikan mandi melebihi paras pinggang tinggi (ketika bayi dalam keadaan duduk).
• Setelah menanggalkan pakaiannya, periksa lampin bayi bagi memastikan lampin bayi tidak penuh dengan air kencing atau najis. Jika terdapat ada najis atau air kencing pada lampin, bersihkan punggung dan alat kelamin bayi sebelum meletakkan bayi ke dalam bekas mandian.
• Secara perlahan-lahan baringkan bayi ke lantai bekas mandian.Gunakan satu tangan untuk menyokong leher dan kepalanya, dan satu lagi anda untuk menyokong bahagian belakang bayi.
• Apabila bayi sudah dibaringkan, kekalkan tangan bagi menyokong leher dan kepalanya, sementara satu lagi tangan untuk membersihkan bayi.
• Bersihkan bayi dengan air. Tidak semestinya menggunakan sabun kerana kulit bayi ada kalanya sensitive terhadap sabun yang digunakan.
Jika mahu gunakan sabun, cari sabun dalam bentuk cecair yang lembut dan tidak mengandungi pewangi. Paling baik gunakan sabun yang mempunyai pH neutral. Jika kulit bayi anda terasa kering atau kemerahan, anda boleh mencampurkan sedikit emolien mandi ke dalam air mandian. Namun kena berhati-hati kerana emolien boleh membuatkan kulit menjadi licin, dan kita boleh terlepas pegangan semasa bayi sedang dimandikan.
• Gunakan jari dan tangan anda untuk membersihkan bayi, bermula dari bahagian atas ke bahagian bawah dan dari bahagian depan ke bahagian belakang. Pastikan kelengkang dan kemaluan bayi digosok secara lembut.
• Setelah selesai, angkat bayi dari bekas mandian, dan terus balut bayi dengan tuala yang lembut dan kering. Guna tuala yang mempunyai tutup kepala. Tepukkan tuala secara perlahan-lahan ke badan bayi, bukan menggosok atau menyapu tuala ke badan bayi.
• Bawa bayi ke bilik untuk diberikan pakaian, dengan memeluk dan mengekalkan balutan tuala pada tubuhnya bagi memastikan tubuhnya panas.
Bagi bayi yang baru dilahirkan, baringkan bayi di atas tilam di lantai. Gunakan kapas atau tuala lembut dan air suam untuk membersihkan dan mengeringkan mata, muka, leher dan bahagian tali pusat.
Bahagian tali pusat hendaklah dibersihkan dan dikeringkan setiap hari bagi mengelakkan jangkitan kuman. Boleh gunakan antiseptic yang dibekalkan oleh pihak hospital. Jika kehabisan, gunakan air suam yang bersih dan pastikan ia sentiasa kering.
Selalunya tali pusat akan tanggal dalam masa sehinggu hingga dua minggu dan meninggalkan luka yang mengambil masa beberapa hari untuk kering.
• Jika kulit bayi kelihatan kering, boleh sapukan pelembap yang sesuai. Pakai pakaian yang bersih dan tidak terlalu ketat. Jangan lupa berikan ciuman pada dahi bayi bagi menyatakan kita menyayangi dia.
Bayi yang sedang dimandikan tidak boleh ditinggalkan bagi menjawab telefon atau menutup api di dapur. Oleh itu pastikan kita tidak memasak apa-apa makanan atau menjerang air di dapur.
Panggilan telefon boleh diabaikan kerana selalunya panggilan yang tidak dijawab akan terpapar di telefon bimbit kita.
Jika ada orang mengetuk pintu atau merasakan perlu menjawab telefon, angkat bayi dari bekas mandian, balutkan bayi dengan tuala tuala dan bawa bersama.
Sediakan semua peralatan mandian yang diperlukan untuk memandikan bayi anda sebelum bermula, seperti tuala dan sabun, di tempat yang senang untuk dicapai.
Sumber : Mediahub
from I Am Kiram http://ift.tt/2fnPWfW
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment