Videos

Find Us On Facebook

Sensasi

Istikharah Yang Menyebabkan Hati Semakin Keliru



 Istikharah. Popular di alam para Muslim dan Muslimah kala bercinta. Perkara yang menggeletek jiwa saya pula adalah istikharah ini hanya sibuk diperkatakan untuk perkahwinan sahaja.
Sedangkan istikharah ini sebenarnya bukan satu perkara khusus untuk mereka yang mahu berkahwin semata-mata. Bukan ‘alat pencari jodoh’. Bukan juga alat ‘penentu’ siapa yang menjadi pasangan kita.
Istikharah ini adalah apa yang terdidik oleh Rasulullah kepada kita dalam membuat apa-apa sahaja keputusan.
Namun, apabila sesetengah pihak mula mengganggap ia ‘alat pencari jodoh sebenar’ yang kononnya tepat 100 peratus, maka istikharah menjadi satu punca kekeliruan hati.
Istikharah bukan lagi membantu menenangkan jiwa dan men’thabat’kan (tetapkan) hati kita.
Mengapa saya nyatakan demikian?

Apabila Istikharah Menjadi Satu Fitnah

Dalam situasi pergerakan ke arah rumah tangga ini, istikharah juga mampu manjadi satu fitnah. Bagaimana?
Saya berikan beberapa situasi yang popular.
Contoh 1
Fulan bin Fulan bertunang dengan Fulanah bin Fulan. Kemudian Fulan bin Fulan ini pergi beristikharah lagi selepas bertunang. Tiba-tiba dia ‘nampak’ wanita lain dalam mimpinya.
Terus dikatakan itu adalah ‘petunjuk istikharah’ dan kemudian dia mahu memutuskan pertunangan dengan Fulanah binti Fulan, kerana dirasakan Allah menunjukkan pertunangan itu satu kesilapan.
Contoh 2
Fulan bin Fulan sedang mencari seseorang bagi dijadikan isteri. Akhirnya, dia beristikharah. Dia nampak Fulanah binti Fulan. Terus dia menyatakan hasratnya kepada Fulanah binti Fulan itu.
Namun, Fulanah binti Fulan menolak. Bagaimanapun, Fulan bin Fulan ini berkeras dan mengugut yang Allah memang sudah takdirkan mereka bersama, berdalilkan istikharahnya.
Ini membuatkan Fulanah bin Fulan serba salah menolak ‘wahyu Ilahi’ ini.
Contoh 3
Fulanah binti Fulan beristikharah dan ‘nampak’ Fulan bin Fulan. Bagaimanapun, Fulan bin Fulan tidak pula dikenalinya. Tidak pula mampu dicapainya.
Pada masa yang sama, datang pula Fulan bin Fulan yang lain melamarnya. Fulanah bin Fulan ini tangguh dahulu menerima Fulan bin Fulan kedua, semata-mata kerana berasakan jodohnya dengan Fulan bin Fulan yang ‘dilihatnya’.
Walaupun dia sedar dia tidak mampu mencapai, mendekati, dan mendapatkan Fulan bin Fulan yang dilihat dalam istikharahnya itu.
Ya. Ini beberapa situasi. Serabu bukan?
Hati jadi semakin keliru, jiwa jadi serabut, dan kalbu rasa kontang.
Bukankah istikarah itu meyakinkan? Jadi mengapa boleh jadi begini.

Kita Lupa kepada Satu Perkara Lagi, Istisyarah

Istisyarah. Satu perkara yang manusia sering lupa. Istisyarah adalah seperti kita meminta pendapat orang lain.
Sebagai contoh, ibu bapa. Mengumpul maklumat dan pandangan pada situasi yang sedang kita hadapi. Dalam konteks kita sekarang, situasi mahu memilih pasangan.
Ramai yang meninggalkan perkara ini.
Ini adalah antara sebab mengapa istikharah menjadi perkara yang kemudian menyerabutkan jiwa. Hal ini kerana akhirnya, kita menganggap istikharah itu memang ‘alat pencari jodoh’.
Sebenarnya dari mana kita yakin istikharah itu datang dalam bentuk mimpi dan tanda-tanda ajaib? Sebagai contoh kita dapat lihat wajah seseorang di langit.
Di celah-celah kepercayaan seperti ini, syaitan menyusup dan menyuntik was-was serta keraguan, dan kekeliruan.
Oleh sebab itu, mimpi hakikatnya tidak menjadi dalil. Petanda-petanda ‘ajaib’ itu, bukan dalil. Jawapan kepada orang yang beristikharah itu tidak semestinya adalah mimpi dan petanda-petanda yang muncul.
Kadangkala, kita yang sibuk memikirkan ini dan itu, maka ia keluar dalam bentuk mimpi. Walau apa pun yang kita nampak, kita sebenarnya ‘lihat’ apa yang kita mahu. Dari situ, kita keliru dan kemudian sibuk menyatakan “inilah dia petunjuk daripada Tuhan!”
Kita lupa bermesyuarat dulu dengan keluarga. Sepatutnya kita bentangkan pilihan-pilihan yang ada, dan bincangkan pro dan kontra setiap pilihan. Dari situ kita menilai dan menimbang.
Sekiranya sudah nampak yang mana pilihan terbaik, maka istikharah tidak diperlukan. Jikalau kita rasa tidak yakin, baru kita lakukan istikharah.
Apabila istikharah yang pertama tidak mendatangkan keyakinan, lakukan lagi untuk kali yang kedua dan ketiga. Kemudian tetapkan hati dan buat pilihan!
Rasulullah tidak melakukan istikharah dalam beberapa situasi penting. Hal ini kerana nabi sudah yakin pilihan itu tepat.
Contohnya dalam peperangan Badar apabila Rasulullah mahu memilih kawasan yang jauh daripada mata air. Para sahabat pula mencadangkan supaya dipilih tempat yang dekat dengan mata air.
Selepas mendengar penerangan betapa pentingnya membuat kem berdekatan dengan mata air, Rasulullah terus menerima cadangan sahabat itu relevan dan jauh lebih baik daripada cadangan yang pertama tadi.
Ketika peperangan Khandaq pula, apabila Salman Al-Farisi mencadangkan menggali parit, Rasulullah menerimanya tanpa beristikharah. Ini kerana cadangan itu memang adalah yang terbaik dalam pertimbangan.
Hadis berkenaan istikharah pun tidak menunjukkan kewajipan dalam melaksanakannya
Jabir bin Abdullah menyatakan;
Ada pun Rasulullah mengajarkan kami istikharah dalam melakukan sesuatu perkara sebagaimana nabi mengajarkan kami satu surah daripada al-Quran. Rasulullah menyatakan. “Apabila kamu merancang sesuatu perkara, maka dia melakukan solat sunat dua rakaat”.
Hadis ini direkodkan daripada Bukhari
Hadis ini hadis umum. Tidak disebutkan hukum wajib melakukan istikharah. Ini terbukti, apabila Rasulullah sendiri, tidak pula melakukan istikharah dalam beberapa hal.
Kemudian, tidak pernah direkodkan apabila Rasulullah sudah membuat keputusan, nabi beristikharah lagi.
Justeru, orang yang sudah membuat keputusan, hingga sudah bertunang contohnya, maka mengapa beristikharah lagi? Hidup lahdengan keputusan yang sudah dilakukan. Berusaha dengan apa yang sudah berada dalam tangan.
Melainkan ketika pertunangan itu, berlaku perselisihan, ataupu sudah jelas kita dengan tunang tidak serasi, maka kita lakukan istikharah. Jangan lakukan istikharah bagi menjadi jodoh lain.
Bagaimanapun, perlu pula istikharah bagi menentukan ‘apakah putus tunang ini baik untuk aku dan dia?’. Begitu caranya
Semestinya istisyarah jangan ditinggalkan dalam situasi sedemikan. Berbincang dengan keluarga, minta pendapat orang-orang tua yang kita kenali, ustaz, dan ustazah yang kita rapat.
Melalui Rasulullah sendiri kita belajar. Bukan daripada orang lain.
Rasulullah manusia yang Allah paling kasih. Tidak pula nabi meninggalkan mesyuarat bersama manusia, mengambil pandangan mereka, dan mempertimbangkannya.
Di sini Rasulullah mendidik kita. Kita perlu lakukan perkara yang Allah ajarkan kepada kita. Dari situ, kita membuat keputusan, berdasarkan selagi keputusan itu tidak bercanggah dengan perintah-Nya.
Kita tidak meletakkan bulat-bulat yang bernama ‘takdir’ dan kepada mengangkat kepala ke langit, menanti ‘wahyu yang baru!’


Sumber : akuislam.com


via Bin Usrah

Sumber : 1Citemalaya>

from I Am Kiram http://ift.tt/2m4Y3D0
via IFTTT

About Unknown

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.