Videos

Find Us On Facebook

Sensasi

'Jangan mengalah hantar anak ke sekolah wahai ibu bapa' - Cikgu Asmadi

Foto - Cikgu Asmadi Samad
Oleh Cikgu Asmadi Samad

Dari jauh kelihatan begitu gigih Pak Jaga menahan pagar dari dibuka oleh seorang murid tahun 1 yang cuba lari dari sekolah. Berguling-guling budak lelaki itu di atas jalan tar yang keras dan panas itu. Keras raungannya seolah-olah begitu marah dengan tindakan Pak Jaga yang menghalang usahanya membuka pagar sekolah.

Saya semakin mempercepatkan langkah. Semakin jelas muka cuak Pak Jaga apabila saya semakin mendekati mereka. Saya juga secara peribadinya takut melihat gaya anak ini mengamuk. Tambahan pula apabila mendengar bagaimana dia mengamuk sewaktu di dalam kelas sebelum berlari keluar dari kelas.

Dalam hati saya tak putus-putus beristighfar dan berdoa pada Allah swt. Ya Allah, Lembutkanlah hati anak ini, dan bukakanlah simpulan lidahku agar anak ini dapat memahami setiap perkataan yang bakal dituturkan kepadanya.

Seorang ustazah turut berada bersamanya, mungkin sejak dari awal tadi sudah mengejarnya apabila melihat dia berlari ke arah pagar sekolah. Mengeleng-ngeleng kepala si ustazah tanda sudah puas memujuk.

Kawan-kawan para ibubapa yang budiman,

Usah terlalu gusar sekiranya anak-anak menangis sewaktu awal persekolahan. Itu perkara biasa dan sering berlaku. Mereka sebenarnya seperti kita, hadir le sekolah dengan pelbagai persepsi. Ada pelbagai jangkaan dan kemungkinan yang mereka fikirkan. Dan mereka juga memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Para Psikologi merumuskan beberapa faktor yang menjadi punca anak- anak menangis pada awal-awal sesi persekolahan. Antaranya ialah faktor emosi, persekitaran/suasana, perubahan gaya hidup dan juga inginkan perhatian.

Anak- anak menangis kerana berhadapan dengan emosi yang tidak mereka ingini sewaktu sampai ke sekolah. Mereka mungkin berasa tidak selamat atau takut kepada guru dan rakan- rakan. Ini boleh dihadapi dengan ibu bapa bertemu dengan guru-guru yang bertanggungjawab untuk menguruskan anak mereka di sekolah. Dengan berbuat demikian sebenarnya menunjukkan kepada anak-anak bahawa ayah dan ibu mereka mempunyai hubungan yang baik dengan guru-guru dan sekaligus membuang rasa tidak selamat untuk mereka bersama guru.

Ada juga yang menangis kerana penat dan juga perubahan persekitaran sedia ada kepada persekitaran baharu di sekolah seperti suasana yang panas atau tidak selesa. Kebiasaannya masalah yang berpunca dari perkara ini tidak lama. 2 atau 3 hari bersekolah sudah boleh membuatkan mereka menyesuaikan diri dengan baik di sekolah. Cuma ibubapa perlu memastikan mereka mendapat rehat yang secukupnya pada sebelah malam. Pastikan mereka tidur lebih awal untuk mengelakkan masalah pada keesokan harinya.Mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan jadual persekolahan yang padat.

Foto - Cikgu Asmadi Samad
Ibu-Ibu dan Ayah-ayah sekalian,

Jangan sesekali mengalah wahai ayah dan ibu! Teruskan menghantar anak-anak ke sekolah meskipun mereka enggan atau menangis sejak dari rumah lagi. Tindakan kita hari ini akan menentukan tingkah laku anak – anak pada keesokan harinya dan hari-hari yang berikutnya. Hantarlah mereka ke sekolah sekalipun karenah mereka menyebabkan mereka terpaksa hadir lewat ke sekolah. Atau terpaksa hanya berbaju biasa tanpa memakai seragam sekolah. Insyaallah, para guru akan berusaha sebaik mungkin memperbaiki masalah ini bersama-sama.

Berbincanglah dengan para guru sekiranya perkara ini berlarutan. Carilah ruang dan peluang untuk bersembang dengan mereka dan mengenalpasti punca dan perkara yang menyebabkan mereka menangis berpanjangan.

Pengalaman kami sebagai guru di SKBA mengajar kami bahawa tidak ada satu teknik atau kaedah yang spesifik dan ampuh yang boleh menghentikan tangisan mereka serta merta. Namun perbincangan yang baik antara para ibubapa dan guru sentiasa menghasilkan penawar yang mujarab buat anak- anak ini. Walllahua’lam. - Asmadi Abdul Samad


Sumber : Citeheboh

from I Am Kiram http://ift.tt/2i8JdaZ
via IFTTT

About Unknown

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.