Menurut Abd. Rahman Saad, 49, anak ketiganya itu turut memaklumkan dia hanya berlegar-legar di kawasan yang sama namun tidak terdengar atau terlihat sebarang suara serta individu di kawasan berkenaan.

Jelasnya, sepanjang enam hari kehilangan Mohd. Azarul, anak­nya tidak makan apa-apa dan bertahan dengan hanya minum air anak sungai..

“Bagaimanapun, Mohd. Azarul memberitahu tiba-tiba hari ini dia terdengar suara seperti orang berborak sebelum meminta tolong untuk diselamatkan. Akhir­nya empat pendaki awam berjaya menemukan anak saya di kawasan Gunung Tok Wan berdekatan Bukit Broga.

“Saya bersyukur kerana anak saya ditemukan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat iaitu pasukan polis, bomba, pendaki dari Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) dan individu yang menemui Mohd. Azarul,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, individu pertama yang menemukan Mohd. Azarul, Muhammad Ridhallah Arffin, 27, berkata, remaja itu ditemukan pada pukul 9.30 pagi kira-kira 700 meter dari puncak Gunung Tok Wan ketika dia sedang menuruni gunung ber­kenaan bersama tiga rakannya termasuk dua warga Britain sebelum mereka terdengar jeritan meminta tolong di laluan trek belah kanan.

“Apabila menghampiri satu kawasan semak, saya ternampak seorang lelaki yang tidak memakai kasut dan bertongkat keluar dari kawasan terbabit. Saya turut memberinya air dan biskut kerana dia kelihatan sangat lemah,” katanya.

Menurut seorang lagi pendaki, Nur Farhana Mat Sedek, 30, dia yang sedia maklum mengenai kehilangan seorang remaja di Bukit Broga melalui laman sosial bertindak menanyakan nama individu berkenaan.

“Apabila dia memberitahu namanya Mohd. Azarul, saya mulanya terkejut namun bersyukur apabila individu yang ditular hilang di Bukit Broga selamat ditemukan. Kami membawanya turun sebelum terserempak dengan sekumpulan sukarelawan yang menyertai misi mencari dan menyelamat mangsa,” ujarnya.

Pada 22 Januari lalu, Mohd. Azarul dikatakan mendaki Bukit Broga dekat sini bersama lima rakannya kira-kira pukul 4 petang namun mangsa yang berasal dari Pantai Merdeka, Kedah itu gagal dikesan pada pukul 6 petang selepas sampai ke puncak bukit berkenaan.