Mama dan papa rindu anak syurga mama, Haura Alhuwainaa bt Muhammad Shafiq Albakri
SELASA - 22 November 2016, 30 weeks
Kali terakhir mama terasa pergerakan terakhir kamu dalam kandungan, ketika mama tidur (jam 3-4 pagi) pada Selasa, malam Rabu lalu. Dan pada malam itu jugalah mama mimpikan kamu di mana mama mendukung kamu. Kamu senyum saja dengan mata tertutup. Wajah kamu cantik bak bidadari dan kulit kamu cerah gebu. Bahagianya mama dalam mimpi itu. Mama dapat rasakan bahawa mimpi ini juga sebagai tanda sudah sampai masanya untuk kamu 'pergi'.
RABU - 23 November 2016, 30 weeks
Esoknya seperti biasa, mama sepatutnya dapat merasa pergerakan kamu bermula seawal jam 7.30 pagi. Tetapi pagi itu tiada tendangan 'selamat pagi' dari kamu. Mama tunggu lagi untuk jam seterusnya, 8, 9, 10, 11 pagi tetapi masih lagi tiada ucapan 'selamat pagi' dari anak mama. Mama sudah mula tak sedap hati.
Jam 12 tengah hari, mama beritahu papa tentang perkara ini. Papa juga mula risau dan tidak tenang. Mama dah cuba goyang-goyang, usik-usik kamu, tukar posisi duduk dan baring, tetapi masih juga tidak mendapat sebarang respon. Mama dapat rasakan yang kamu sudah tiada tetapi mama cuba untuk positif dan sabar menunggu sehingga papa balik kerja untuk bawa mama pergi ke hospital dan melihat keadaan kamu di dalam.
Jam 7.00 malam, mama dan papa sampai di wad kecemasan HUKM. Kamu masih lagi tidak bergerak dari pagi. Doktor periksa bunyi denyutan jantung kamu tetapi tiada. Hanya kedengaran detak jantung mama seorang sahaja. Doktor minta untuk pergi ke bahagian scan pula untuk kepastian terhadap keadaan kamu di dalam.
Bila doktor letak saja alat scan di perut mama, mama nampak kamu di skrin. Tetapi mama tak nampak jantung kamu berdenyut seperti sebelum ini. Mama tahu kamu sudah tiada, tetapi mama cuba untuk sedapkan hati walaupun mama tahu mama bakal mendengar berita sedih. Keadaan sunyi seketika dan akhirnya terluah di bibir doktor yang mengatakan bahawa kamu sudah tiada.
Allahu, terus berkaca mata mama. Mama cuba untuk kuat dan bertahan dari menangis. Tetapi terus juga menitik air mata mama. Anak yang mama kandung dan anak yang mama papa perjuangkan selama tujuh bulan setengah ini telahpun dijemput kembali kepada penciptaNya.
Balik ke rumah, mama solat dan berdoa. Sekali lagi mama tidak dapat menahan rasa. Mama menangis di depan Allah sungguh-sungguh. Walaupun anak mama dah pergi, tetapi mama tetap panjatkan syukur kepada Allah kerana telah meminjamkan awak untuk mama dan papa selama tujuh bulan setengah ini. Alhamdulillah.
Papa nampak mama menangis, terus papa memeluk mama kuat-kuat, pujuk mama untuk sabar dan kuat. Tetapi akhirnya papa juga menangis sama. Menangis bukan kerana meratapi pemergian kamu, tetapi menangis kerana kami sama-sama sayang pada kamu walaupun kita belum pernah bertentang mata. Nikmat kasih sayang yang Allah tanamkan dalam hati mama papa sangat berharga terhadap kamu.
KHAMIS - 24 November 2016, 30 weeks
Jam 7.30 pagi, mama masuk ke wad untuk proses melahirkan anak syurga mama papa. Sepanjang hari di katil wad, mama banyak berzikir, baca yaasin, buat solat hajat dan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan bersalin. Bibir mama tidak berhenti berzikir. Kadang-kadang sampai tertidur.
Mama diberi ubat induce yang pertama jam 3.30 petang. Sakit contraction semakin terasa selepas 3 jam ubat induce dimasukkan dan sakit semakin kuat menjelang tengah malam. Mama tak boleh tidur. Disebabkan ubat induce pertama tadi masuk lambat, doktor sarankan untuk ambil pain killer supaya mama boleh tidur dan rehat sebab esok ubat induce yang kedua pula akan dimasukkan. Jadi, mama perlu bertenaga untuk berjuang esok.
Mama mula-mula mahu cuba juga untuk bertahan menahan sakit tanpa pain killer. Kemudian, doktor periksa laluan, bukaan baru 1cm. Allahu, akhirnya mama tewas juga. Jam 2 pagi, jururawat cucuk pain killer sebab mama dah tak tertahan sakit contraction. Akhirnya mama tertidur.
JUMAAT - 25 November 2016, 30 weeks
Mama bangun jam 6.30 pagi untuk solat subuh dan solat hajat. Sakit contraction masih terasa tetapi tidak sekuat semalam. Mama gagahkan juga untuk bangun solat dan berdoa banyak-banyak agar mama boleh lahirkan anak mama hari ini di hari Jumaat yang mulia.
Selesai solat, ubat incude kedua dimasukkan lagi. Kemudian mama mandi walaupun tengah menahan sakit. Demi kamu, mama kuatkan diri untuk membersihkan diri.
Sakit semakin kuat, darah mula keluar sedikit demi sedikit. Masuk waktu Zohor, mama dah tak dapat nak menunaikan solat. Mama hanya banyakkan berzikir dan berdoa di atas katil sambil menahan sakit sehingga jam 3.30 petang.
Doktor periksa laluan sekali lagi. Alhamdulillah, bukaan dah 4 cm. Doktor putuskan untuk mama terus masuk ke labour room untuk menunggu bukaan lebih besar.
Jam 4.30 petang di labour room, doktor sarankan mama untuk ambil epidural sebab induce ketiga yang bakal dimasukkan selepas ini lebih kuat (sebab bayi sudah tidak bernyawa). Untuk mengurangkan rasa sakit yang teramat sangat, mama ambil juga epidural.
Mula dari jam 4.30 petang itu, selepas dimasukkan induce ketiga, mama tertidur sekejap, terbangun sekejap. Mungkin mengantuk dan letih menahan sakit. Sampailah jam 9 malam, sakit contraction mula terasa makin kuat semula. Mama mula menahan sakit lagi sehingga menggigil-gigil. Allah sahaja yang tahu sakitnya.
Jam 12 malam, mama mula demam 38'C. Doktor periksa lagi laluan. Tak pasti berapa cm sudah bukaan pada ketika itu tetapi doktor suruh cuba untuk meneran. Mama cuba teran sekali, terus air ketuban pecah. Terkejut doktor-doktor yang berada di depan. Habis basah pakaian mereka. Maaf ya. Hee!
Doktor terus suruh mama untuk teran. Beberapa kali teran (agak susah juga pada mulanya sebab tiada pengalaman), semakin lama semakin faham bagaimana cara nak meneran. Hehe.
Alhamdulillah adanya papa yang sentiasa yang memberi kata semangat, jururawat-jururawat dan doktor-doktor yang sangat baik. Alhamdulillah, akhirnya selamat juga mama melahirkan anak syurga ini pada jam 12.36 pagi dengan tenang. Berat Haura 1.9 kilogram. Terus hilang rasa sakit tengok Haura.
Jururawat letak Haura di atas badan, mama peluk dan cium anak mamak. Papa pun sama. Comelnya Haura anak mama. Mata kamu tertutup rapat, tenangnya mama tengok kamu. Lama juga kami pegang Haura, berbual dengan Haura, bergambar dengan Haura. Mama pegang jari jemari halus anak mama. Comel sangat.
Kemudian papa azankan Haura biarpun Haura sudah tidak bernyawa lagi. Tetapi mama dan papa yakin, Haura mendengar alunan azan papa dari sana kan sayang?
Selesai bersama Haura, papa bawa Haura ke bilik mayat sementara menunggu untuk proses pengebumian esok. Mama pula ditolak masuk ke wad semula dan tertidur.
SABTU - 26 November 2016
Mama minta untuk discharge awal pagi sebab mama nak tengok Haura buat kali terakhir. Alhamdulillah, mama boleh balik bersama-sama Haura. Papa ambil Haura di bilik mayat dan bawa Haura pulang untuk urusan pengebumian.
Mama dan papa duduk di seat belakang. Nenek dan Atok di bahagian depan, bawa Haura pulang. Sepanjang perjalanan dalam kereta, mama pegang Haura. Perasaan sedih mula muncul sebab mama tahu masa untuk mama dengan Haura dah tak lama. Mata mula berkaca tetapi mama tahan.
Jam 11.30 pagi, sampai di surau. Haura dimandikan dan dikafankan. Tibanya saat untuk mama cium puteri syurga mama untuk kali terakhir. Allahu, air mata mama dah tak tertahan lagi. Mama tengok wajah anak mama, sucinya wajah anak mama. Bidadari syurga Allah. Mama cium-cium Haura. Wanginya ya Allah. Wangi sangat kamu sayang. Bau syurga. Wangian yang tak pernah mama hidu baunya. Terlalu wangi.
Kemudian Haura disembahyangkan oleh jemaah surau dan seterusnya dikebumikan oleh papa Haura. Mama tak dapat ikut Haura ke tanah kubur. Papa, atok-atok dan saudara-mara yang lain temankan Haura ke kubur. Mama, nenek-nenek dan mak saudara yang lain hanya temankan Haura dari jauh.
Jam 12.15 tengah hari, selesai urusan pengebumian puteri sulung mama di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permai 2, Ampang. Alhamdulillah.
Semoga anak mama tenang di sana bersama anak-anak syurga yang lain. Mama tahu, Allah lebih sayangkan Haura. Dan mama tahu, Haura lebih tenang di bawah jagaan Allah di sana. Mama dan papa redha.
APA SEBENARNYA YANG BERLAKU?
Ramai bertanya apa yang berlaku pada bayi kami sebenarnya. Di sini saya ceritakan serba sedikit ya.
Alhamdulillah sepanjang kehamilan dari mula, bayi kami sihat dan tiada masalah. Usia kandungan 26 minggu (6 bulan lebih), kami buat detail scan di klinik untuk melihat keadaan bayi dan sekaligus untuk mengetahui jantina bayi. Waktu inilah sonographer dapat mengesan perut bayi besar, banyak air di dalam perut.
Kami dirujukkan pada doktor pakar di HUKM. Allahu, speechless, terkejut dengan berita ini. Datang dengan penuh rasa teruja untuk melihat bayi tetapi sebaliknya yang kami terima.
Saya sudah menangis tetapi suami masih kuat dan cuba untuk memujuk walaupun dia sebenarnya juga sedih.
Bermula dari 26 minggu, kami follow up dengan doktor pakar setiap minggu di HUKM dan doktor pakar memaklumkan penyakit ini namanya 'Fetal Ascites'. Doktor kata, berkemungkinan bayi tak cukup darah atau terkena jangkitan virus (tetapi masih belum pasti penyebab utama). Dan doktor juga ada memaklumkan risiko awal-awal untuk keadaan ini.
- Bayi boleh meninggal dalam kandungan
- Bayi lahir cukup bulan tetapi hayatnya tak lama.
- Bayi lahir tetapi membesar dengan tidak sihat
Setakat tiga minggu follow up, keadaan bayi masih okay. Denyutan jantung okay. Tetapi pada minggu terakhir, paras air ketuban bayi menunjukkan semakin berkurangan. Kami semakin risau.
Rawatan terakhir yang kami ambil ialah pada Selesa 22 November 2016. Rawatan ambil sedikit air ketuban (5ml) untuk dihantar ke makmal supaya doktor dapat cari lagi punca kejadian yang berlaku pada bayi. Sebab ikutkan pemeriksaan doktor, kami sihat dan tiada sebarang masalah kesihatan yang boleh mempengaruhi bayi.
Keputusan air ketuban dijangka keluar pada hari Jumaat (25 November 2016). Tetapi belu msempat tunggu keputusan keluar, bayi sudah semakin lemah selepas rawatan itu dan disebabkan juga kegagalan jantungnya untuk berfungsi dengan baik. Esoknya bayi meninggal dunia (23 November 2016). Innalillahiwainnailahiraajiun.
Kami dah pun cuba ikhtiar yang terbaik untuk bayi Haura sihat semula. Tetapi ternyata perancangan Allah lebih baik dan ada hikmahnya. Kami redha.
Allah Maha Mengetahui segalanya. Mungkin kalau Allah izinkan bayi Haura hidup, tetapi dia hidup terseksa menahan sakit. Kasihan juga. Kami juga tidak sanggup melihat anak sakit. Jadi kami relakan anak syurga kami berada di sisi Allah SWT. Kamu akur dengan ketentuan Ilahi.
Wahai bidadari kecilku, kedatanganmu yang sekejap merupakan sebuah anugerah yang terindah buat kami. Walaupun sementara, tetapi kamu tetap wujud dalam hati kami sampai bila-bila.
Kami yakin dengan kurniaanMu ini akan menjadi saham akhirat yang bakal memimpin tangan kami di Jannah apabila tiba masanya kelak. Dan kami bersyukur kerana kami adalah hambaNya yang terpilih untuk memilikimu wahai bidadari syurga.
Tenanglah wahai anak syurgaku. Tenanglah kau di dalam syurga Allah yang abadi. Semoga kita bertemu lagi di alam sana sayang, "Haura Alhuwainaa"
Haura - Wanita berkulit putih
Huwainaa - Yang tenang
Al-fatihah. - Hami Bazilah
Sumber : Citeheboh
from I Am Kiram http://ift.tt/2h3XHJh
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment