Videos

Find Us On Facebook

Sensasi

Sebab-sebab Rumah Anda Panas dan Bagaimana Mengatasinya (Bhg 1 dari 2)

Tinggal di dalam negara di zon khatulistiwa seperti Malaysia, kita terdedah kepada cahaya matahari terik sepanjang tahun. Taburan suhu purata 27 darjah celsius dengan kadar kelembapan 84-88% menjadi penyumbang utama kepada rasa panas dan bahang di dalam rumah terutamanya di sebelah petang dan awal malam. Di sini Root of Science menyentuh secara ringkas tentang sains bangunan, satu pengkhususan di dalam bidang senibina (architecture).

Purata suhu di Kuala Lumpur sepanjang tahun

Memang tidak dinafikan, matahari adalah sumber utama pemanasan rumah di planet ini. Ia merupakan masalah zaman-berzaman, namun yang penting adalah bagaimana senibina dan kejuruteraan bangunan setempat mengatasinya menggunakan teknologi sezaman. Kita lihat 5 sebab utama pemanasan rumah dan strategi mengatasinya.

1. Dilanda Sinaran Matahari Secara Langsung

Kita tak perlu jadi genius untuk memahami penyebab utama ini. Ada beberapa cara yang boleh anda lakukan bagi membolehkan habitat anda mengatasi masalah ini dengan lebih baik. Perlu kita fahami di sini sinaran matahari yang melanda dinding, lantai dan ruang dalaman khususnya akan menyebabkan peningkatan suhu mendadak. Strategi terbaik adalah untuk mengelakkan sinaran matahari dari melanda bahagian-bahagian rumah anda secara langsung.

  • Menggunakan unjuran bumbung.

Unjuran bumbung yang panjang atau sengkuap (awning) akan meredupkan bukaan tingkap atau pintu. Ia juga dapat melindungi dinding dari menyerap haba;

  • Menanam pokok sebagai teduhan.

Dedaun yang rimbun dapat menghalang sinaran matahari dan menyejukkan persekitaran luar rumah;

  • Menggunakan insulasi (penebat haba) di bumbung.

Ini kerana bumbung akan menerima sebahagian besar haba dari matahari dan akan memanaskan udara di antara bumbung dan siling rumah. Penebat haba akan mengurangkan kesan pemanasan ruang ini;

  • Melapisi dinding dengan lapisan tambahan.

Penggunaan material seperti lapisan komposit aluminium, veneer atau lapisan bata perhiasan,


Dinding Berlapis

  • Mengecat dinding dengan warna yang cerah;

Hukum thermodynamics menyatakan warna yang cerah akan memantulkan cahaya sementara warna yang gelap menyerap (absorb) cahaya. Apabila cahaya diserap, tenaga itu bertukar menjadi haba.

  • Menggunakan langsir, tirai atau skrin;

Sebagaimana unjuran bumbung atau teduhan pokok melindungi bahagian luar bangunan, langsir, tirai atau skrin akan melindungi bahagian dalam rumah sambil membenarkan aliran angin yang bebas.


Senibina Bali menekankan ruang yang terbuka, bumbung yang teduh,
tirai langsir sebagai tabir dan berdekatan dengan sumber air
terbuka sebagai penyelesaian bagi isu panas tropika.

  • Menghadang bukaan yang menghadap matahari terbenam (barat secara umumnya);

Suhu paling panas adalah di waktu petang antara 2pm hingga 4pm. Jadi seeloknya bukaan yang menghadap matahari petang dihadang bagi mengurangkan penyerapan haba.

2. Tidak Mempunyai Pengudaraan Yang Baik

Antara kaedah paling efisien dalam menangani masalah panas di dalam rumah adalah dengan memastikan semua udara panas yang terkumpul tersebar keluar dan digantikan dengan udara sejuk. Tanpa pengaliran udara yang baik, haba ini akan terkumpul di waktu siang dan boleh berpanjangan ke waktu malam menyebabkan rasa rimas dan tidak selesa.

Bagi mengatasi masalah ini, sesebuah rumah patut mempunyai bukaan yang menggalakkan aliran udara masuk dan keluar rumah. Antaranya:

  • Bukaan tingkap yang luas – Ini bagi memastikan kadar ACH (Air Changes per Hour) yang efisien;
  • Aliran udara yang tidak terbatas;Sebarang objek seperti perabot, dinding, langsir tebal yang merintangi pergerakkan udara boleh mengekang dan membatasi pergerakkan udara.

sejuk02Udara panas keluar, udara sejuk masuk

  • Menggunakan air well;

Air well adalah ruang vertikal yang terbuka di bahagian tengah rumah, kebiasannya di bahagian tangga. Ia direka bagi membolehkan udara panas bergerak ke atas dan seterusnya keluar melalui bukaan tingkap berdekatan siling. Apabila ini berlaku, udara sejuk bergerak masuk menggantikan ruang tekanan rendah yang ditinggalkan oleh udara panas;

Kesan stack (bertingkat) di dalam air well

  • Menggunakan kipas ekstrak di aras yang tinggi (berdekatan dengan siling) – Ini membolehkan udara panas dipaksa keluar dengan lebih cepat;
  • Menyeragamkan hala kipas angin berdiri.

Sekiranya laluan angin datang dari hadapan rumah, maka digalakkan sekiranya menggunakan kipas berdiri (atau kipas meja) dan menyeragamkan hala kipas itu agar bertiup ke belakang rumah.

  • Menggunakan kipas siling menghala ke atas di bahagian air well.

Kipas ini akan berfungsi sebagai kipas pengekstrak. Namun efisiensi kaedah ini belum terbukti sekiranya diambil kira kos elektrik yang terlibat.

  • Menggunakan cerobong solar.

Cerobong solar (solar chimney) adalah satu kaedah yang popular di Timur Tengah. Ia merupakan air well yang tirus tetapi tinggi. Di sepanjang bahagian atas cerobong, pelbagai kaedah pasif digunakan untuk memanaskan udara di bahagian dalam. Antaranya menggunakan cermin, cat warna hitam dan bahan binaan yang mudah menyerap haba.

Apabila suhu udara di dalam cerobong meningkat, ia akan bergerak ke atas dan menarik udara dari bawah bagi menggantikan tempatnya. Ia akan mencipta satu tindakbalas berantai yang akan menyejukkan bahagian bawah rumah anda.

Konsep cerobong solar (solar chimney)

Sebelum anda menebuk dinding untuk membuat bukaan yang baharu, ada beberapa isu yang perlu diambil perhatian apabila memaksimakan bukaan:

  • Masalah nyamuk dan serangga lain;
  • Kurang privasi;
  • Rekabentuk rumah yang terhad;
  • Binaan dan struktur rumah yang terhad;
  • Kawasan rumah yang memang kurang atau tidak berangin.
  • Kos renovasi yang tinggi (bagi membina air well, mengubah suai tingkap dan sebagainya)

3. Kesan Urban Heat Island (UHI)

UHI adalah satu situasi di mana sesuatu kawasan bandar itu mengalami taburan suhu yang lebih tinggi dari persekitaran luar bandar. Perbezaan suhu ini terjadi apabila kawasan bandar yang dibangunkan mempunyai elemen-elemen yang memerangkap atau menjana haba yang berterusan.

Contohnya, permukaan berwarna gelap seperti jalan raya menyerap lebih banyak radiasi matahari. Oleh kerana kawasan bandar mempunyai lebih banyak rangkaian jalanraya yang berselirat, ini menyebabkan luas kawasan yang akan menyerap haba lebih besar.

Masalah ini ditambah dengan pengurangan tanaman pokok-pokok di dalam kawasan bandar – bermakna kurang tempat berteduh dan kesan penyejukan pokok-pokok tersebut. Haba yang terbuang hasil dari penggunaan kenderaan, pendingin hawa dan industri secara umumnya juga menyumbang kepada peningkatan UHI.

UHI Kuala Lumpur 26 Disember 2004 (Elsayed 2012)

Gambarajah di atas menunjukkan zon-zon panas di sekitar Kuala Lumpur pada tahun 2004. Kelihatan zon panas (merah) yang kontras dengan zon-zon sejuk (hijau dan biru). Pelbagai kajian telah dibuat bagi memperbaiki dan memulihkan situasi ini, dan ada antaranya sudah dinyatakan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

Kesan ini mencetus pendapat umum bahawa tinggal di kampung lebih nyaman dengan udara yang segar, sementara di bandar pula panas dan merimaskan. Namun tidak banyak yang dapat dilakukan oleh penduduk bandar secara individu, melainkan menegaskan kepada pihak berkuasa tempatan agar lebih perihatin terhadap alam sekitar dan sumbangannya kepada kehidupan manusia sejagat.

Atau pindah tempat lain. Lagi jauh dari kawasan urban lagi bagus.

* * *

Berdasarkan perbincangan di atas, antara persoalan yang kerap dikemukakan ialah “boleh ke arkitek saya mengambil kira aspek ini ketika merekabentuk rumah saya?”

Jawabnya BOLEH. Semua arkitek yang bertauliah di Malaysia telah didedah dan dilatih di dalam senibina iklim tropika. Kebanyakkan graduan luar negara juga didedahkan sekurang-kurangnya kepada senibina jimat tenaga dan lestari (sustainable). Selalunya kos merekabentuk telah disekalikan ke dalam fee arkitek, jadi anda hanya perlu perhatikan teknologi-teknologi tambahan sahaja yang mungkin akan meningkatkan kos binaan. Kalau dia gatal kata tak boleh, susah atau memandai nak naikkan harga secara tak munasabah, carilah arkitek lain.

Bahagian Kedua artikel ini akan membincangkan lebih lanjut tentant aspek-aspek sekunder yang boleh menyumbang kepada masalah rumah panas.


Sumber: RootOfSience

Sumber : Citeheboh

from I Am Kiram http://ift.tt/2i6zJNN
via IFTTT

About Unknown

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.