Melihat Allah di hari akhirat adalah nikmat terbesar buat seorang hamba. Allah Taala berfirman maksudnya, “..pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; melihat kepada Tuhan-Nya..” Al-Qiyamah: 22-23
Bertuahlah mereka yang mendapat peluang ini. Bagaimanapun, berdasarkan beberapa hadis, kita dapat pula mengetahui golongan yang dihalang daripada menatap wajah Allah.
1. Penderhaka Kepada Ibu Bapa
Sesiapa yang menderhaka tidak akan dipandang oleh Allah pada hari akhirat kelak.
Sabda Rasulullah SAW, “Tiga golongan yang Allah tidak memandang wajah mereka pada hari kiamat kelak iaitu mereka yang menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa, wanita yang berlagak lelaki dan golongan orang daiyuth.” HR Ahmad dan Nasai
2. Berjanji Demi Kepentingan Dunia
Orang yang suka berjanji palsu semata-mata untuk mendapatkan habuan dunia.
3. Mereka Yang Memilih Pemimpin Kerana Kebendaan
Seseorang yang memilih pemimpin kerana mahukan kebendaan, sedangkan dia tahu orang yang dipilih itu bukan pemimpin yang baik dan amanah.
4. Orang Tua Yang Berzina
Walaupun tahu perbuatan itu keji tapi tetap melakukannya tanpa rasa bersalah, sedangkan dalam usia begini dia sepatutnya menjadi contoh kepada generasi muda.
Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga golongan yang Allah enggan bercakap dengan mereka pada hari kiamat kelak. Allah tidak sudi memandang muka mereka, Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa dan noda. Untuk mereka disiapkan seksa yang sangat pedih. Mereka terdiri daripada orang tua yang berzina, pemerintah yang suka berdusta dan fakir miskin yang takbur.” HR Muslim
5. Golongan Yang Enggan Membantu Orang Lain
Mereka adalah golongan yang sukar memberikan pertolongan kepada insan yang memerlukan pertolongan walaupun ia adalah pertolongan kecil dan mudah.
6. Orang Miskin Yang Takbur
Mereka bukan sahaja tidak disenangi oleh manusia tetapi dimurkai Allah. Golongan ini bukan sahaja rugi di dunia bahkan di akhirat.
7. Wanita Yang Berlagak Seperti Lelaki
Dari segi perlakuan dan perwatakan, kita menganggap dia seorang lelaki, sedangkan dia sebenarnya seorang wanita.
8. Suami Dayus
Seorang suami yang membiarkan isteri dan anaknya melakukan maksiat tanpa ada perasaan marah, cemburu dan tidak berusaha menegur perbuatan tersebut.
9. Pengamal Hubungan Seks Songsang
Inilah golongan yang mengamalkan budaya jijik kaum Nabi Lut dan kemudian dibinasakan oleh Allah kerana perbuatan tersebut.
Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu walaupun bersetubuh dengan isteri melalui dubur.
Malah lebih teruk lagi mereka tergamak melakukan hubungan seks dengan binatang.
10. Orang Yang Suka Mengungkit Pemberiannya
Iaitu yang memberikan sesuatu kepada seseorang kemudian mengungkit kembali pemberiannya itu.
11. Penjual Yang Berdusta
Seseorang yang sanggup berbohong untuk melariskan jualannya. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran: 77 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang mengutamakan keuntungan dunia dan mencabuli sumpah mereka, tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka serta tidak akan memandang mereka pada hari kiamat dan tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa) serta mereka diberikan azab yang pedih.”
12. Isteri Yang Tidak Berterima Kasih Kepada Suaminya
Seorang isteri yang tidak tahu menghargai suami biarpun dia dilayan dengan baik.
13. Orang Yang Suka Mempamerkan Harta Kekayaan
Seseorang yang bersikap angkuh dan gemar mempamerkan harta kekayaan sedangkan ianya tidak bernilai langsung disisi Allah SWT.
14. Pemerintah Yang Berdusta Dan Tidak Mempedulikan Penderitaan Rakyatnya
Iaitu pemerintah yang tidak mempedulikan kebajikan dan penderitaan rakyat, sedangkan dia hidup bersenang-lenang. Malah rakyat sering dimomok-momokkan dengan janji-janji dusta semata-mata.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang memikul jawatan atau tugas menguruskan orang Islam, namun dia gagal memenuhi tanggungjawab dan dia mengelak daripada menyelesaikan keperluan mendesak, kepentingan kemiskinan dan kepapaan umat Islam, nescaya Allah akan mengelak (menjauhkan diri) daripadanya pada hari kiamat kelak daripada menyelesaikan keperluannya yang mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaannya pada hari tersebut.” HR Abu Daud
Wallahu a’lam.
Sumber: ternyataviral
–> Klik jika rasa post ini patut dibuang
Artikel ini hanyalah perkongsian dari pelbagai website dan blog. Sekiranya perkongsian artikel yang dilaporkan disalahertikan kami tidak akan bertanggungjawab. Terima Kasih
0 comments:
Post a Comment