UTTAR PRADESH, UTARA INDIA - Seorang gadis berusia 20 tahun terpaksa menanggung parut kekal di wajahnya selepas disimbah asid oleh bapanya sendiri selepas mangsa melaporkan lelaki itu menjual perempuan untuk seks, lapor Daily Mail.
Khushboo Devi sebelum kejadian itu sedang tidur bersama suami dan anak perempuannya yang didatangi oleh bapanya, Manik Chandra mengetuk pintu rumha mereka di Uttar Pradesh, utara India.
Kushboo (kiri). Manik Chand (kanan)
Apabila dia membuka pintu, lelaki itu terus menyimbah asid di mukanya. Cecair asid itu turut terkena pada suaminya, Vinod Kumar, 26, dan anak perempuan mereka, Trisha yang sedang tidur.
Ketiga-tiga mangsa yang melecur di muka, bahu, lengan dan tangan segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Vinod, Trisha dan Kushboo |
Kushboo akan memastikan lelaki berusia 40 tahun itu dipenjarakan seumur hidup di atas jenayah yang dilakukannya itu.
"Ayah saya simbah asid pada saya kerana saya tahu segala kegiatan keji yang dia lakukan. Dia juga tahu dia akan dipenjarakan jika saya mendedahkan kegiatannya yang membeli dan menjual perempuan sebagai hamba seks.
"Dia beli perempuan cantik dan menjual mereka dengan harga tinggi sudah sekian lama. Dia biasanya berkongsi apa sahaja dengan saya dan menyangka saya akan menyimpan rahsianya.
"Dia juga menyangka dengan membunuh saya, dia dapat menutup mulut saya. Dia lelaki yang kejam," katanya.
Kushboo mendakwa dia dan empat orang adik membesar sambil melihat ayah mereka memperdagangkan wanita selepas ibu mereka, Sarita Devi, 35, meninggalkan mereka sejak 2007.
"Ibu hidup sengsara dengan ayah. Saya terlalu muda untuk faham ketika itu. Tetapi ayah kerap mendera ibu secara fizikal dan mental selama beberapa tahun. Pernah sekali ayah memukul ibu sehingga menyebabkan ibu hilang pendengaran.
Kushboo dan ibunya, Sarita |
Tidak tahan dengan penderitaan itu, Sarita mengambil keputusan untuk melarikan diri, namun tidak dapat membawa kesemua anaknya bersama.
"Sepanjang tempoh berada di rumah itu, saya nampak ayah berkahwin dengan tiga wanita lain tanpa menceraikan ibu saya. Kemudian dia menjual mereka kepada lelaki lain," katanya.
Pada masa itu, Kushboo menyangka wanita-wanita itu adalah saudara terdekat mereka, tanpa menyedari ayahnya melakukan jenayah yang menjijikkan itu.
"Dia memperkenalkan wanita berusia 22 tahun itu sebagai anak buahnya, tetapi tidak lama kemudian dia mengahwini wanita itu. Adakalanya dia mendakwa ibu kami tidak memasak dan membasuh pakaiannya, menjadi penyebab mengapa dia membawa wanita itu ke rumah.
"Dia menyangka saya tidak matang untuk memahami kesemua itu, tetapi selepas beberapa tahun kemudian, barulah saya sedar apa sebenarnya yang berlaku," katanya.
Kushboo masih ingat semasa dia berusia 12 tahun, ayahnya menghantar dia ke Brick Kiln untuk bekerja tetapi pekerja lain memaklumkan kepada dia untuk segera melarikan diri kerana ayahnya mahu menjual dia.
"Semasa berusia 12 tahun, ayah hantar saya ke Brick Kiln untuk bekerja, semua orang di sana tahu mengenai dia. Saya tengok ramai wanita muda masuk ke dalam bilik dan salah seorang memberitahu saya wanita-wanita di situ dirogol dan dijual.
"Ayah saya berada di tempat itu. Pekerja di tempat itu menyuruh saya melarikan diri tetapi saya tiada dia. Jadi, saya hanya menyembunyikan diri. Selepas beberapa jam kemudian, ayah berjaya menemui saya. Dia mencuba banyak kali untuk menjual saya tetapi, mujur Tuhan menyelamatkan saya," katanya.
Pada tahun 2012, ketika berusia 14 tahun, Kushboo dipaksa mengahwini Vinod, tukang paip yang jujur. Ayahnya berhutang dengan Vinod sebanyak 40,000 Rupees dan oleh kerana tiada wang untuk membayar hutang itu, dia menawarkan Kushboo sebagai ganti.
"Saya menolak perkahwinan itu, malah saya merayu agar dia berhenti berbuat demikian. Tetapi saya tahu saya tidak dapat berbuat apa-apa. Ibu pula mengatakan Vinod seorang lelaki yang baik, jadi ia pasti akan menjadi satu perkahwinan yang baik.
"Syukur selepas beberapa tahun kemudian, saya bahagia bersama Vinod. Ia bukanlah perkahwinan yang mewah kerana ayah saya tiada wang, tetapi Vinod buat sekadar apa yang mampu," katanya.
Kushboo berkata, dia dan ibunya pernah cuba melaporkan jenayah yang dilakukan Manik kepada polis, tetapi ayahnya selalu merasuah pegawai polis tempatan.
"Kami cuba mengumpulkan bukti, tetapi dia musnahkan kesemuanya. Tidak kira berapa banyak kali kami mencuba untuk melaporkan tentang dia, dia selalu dibebaskan selepas memberi rasuah kepada pegawai polis. Polis langsung tidak berbuat apa-apa," katanya.
Januari 2017, Manik cuba menjual adik perempuan Kushboo, Anjali, 16, kepada seorang lelaki tua berusia 50 tahun. Kushboo dan ibunya segera mendapatkan bantuan dari orang kampung dan mereka berjaya menghalang perkahwinan Anjali dengan lelaki tua itu.
Mereka segera membuat laporan polis dan bertindak di atas laporan itu, Manik ditahan. Namun dibebaskan semula selepas dua hari kemudian.
Beberapa minggu kemudian, 6 Februari, Manik sekali lagi cuba mengatur perkahwinan Anjali dengan seorang lelaki berusia 30 tahun dari Agra dan perkahwinan itu berjaya dilangsungkan.
"Apabila saya mendengar berita itu, saya segera membuat laporan polis dan meminta polis mendakwa dia, tetapi polis tidak mengambil apa-apa tindakan.
"Dia kemudian pergi ke rumah saya dan meminta saya menarik balik laporan polis yang dibuat terhadapnya. Tetapi saya menolak untuk berbuat demikian," katanya.
Beberapa hari kemudian, Manik muncul di depan rumah Kushboo dan menyerangnya dengan asid.
"Dia hanya menyebut nama saya dan terus menyimbah asid ke muka saya. Saya terus menjerit kesakitan yang teramat sangat. Cecair itu juga terkena pada mata dan terasa seperti terbakar. Saya tidak dapat melihat apa-apa.
"Jiran-jiran yang terdengar jeritan saya kemudian keluar melihat apa yang berlaku. Tetapi ayah saya sudah melarikan diri. Saya suruh suami menghubungi polis yang tiba di rumah 30 minit kemudian," katanya.
Kushboo dan keluarganya kemudian dikejarkan ke hospital dan doktor mengesahkan Kushboo melecur 6% di bahagian muka, tangan kanan dan kaki kanan.
Vinod juga mengalami kecederaan di muka, leher, bahu, perut dan paha kanan, manakala anak mereka mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki.
Kushboo ditahan di hospital selama empat hari, tetapi Vinod terpaksa meminjam wang dari keluarganya untuk membayar bil perubatan.
Setelah kembali dari hospital, Kushboo dijaga oleh ibu dan adik perempuannya.
"Saya telah berjanji dengan dia yang saya akan carikan rawatan terbaik untuknya di hospital swasta agar parut di wajahnya hilang. Saya akan buat apa saja untuk dia," kata Vinod.
Polis telah menahan Manik dan kini disiasat di bawah Seksyen 326 A (hukuman untuk serangan menggunakan asid) dan 452 (Menceroboh rumah untuk tujuan menyakitkan, menyerang atau melakukan perbuatan tidak sepatutnya).
"Kami sedang menyiasat kes ini dan akan melihat semula segala rekod jenayah yang pernah dilakukannya sebelum ini" kata Sub Inspektor Rajveer Singh.
"Saya akan pastikan dia tidak akan terlepas dari hukuman penjara. Saya bimbang dia akan menghantar seseorang untuk membunuh saya tetapi saya akan melawan sehingga nafas yang terakhir," kata Kushboo. - The Reporter
Sumber : Gengviral
from I Am Kiram http://ift.tt/2pxOo8S
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment